Leelou Blogs

Ahad, 5 Jun 2011

gejala belia

(Panas) Artikel Wajib Baca: Isu Buang Anak, Sekolah Pelajar Hamil dan Hukuman Gantung – Kupasan dan Persoalan.

Isu buang anak di Malaysia masih menjadi satu isu hangat walaupun Ramadhan yang mulia sudah menjengah. Tidak mengejutkan kalau dikatakan banyak kes pembuangan anak melibatkan golongan Melayu. Banyak perbincangan dan usul dicadangkan. Ada juga yang sudah dilaksanakan seperti pelaksanaan sekolah pelajar hamil di Melaka. Baru-baru ini, timbulnya usul hukuman mati mandatori untuk pesalah buang bayi sehingga mengakibatkan kematian. Persoalan yang timbul kini, berkesankah semua itu?

Pelaksanaan sekolah pelajar hamil di Melaka disambut baik oleh sesetengah pihak seperti Pergerakan Puteri UMNO yang mahukan sekolah sebegini di peringkat nasional. Tidak kurang juga yang merasakan langkah ini tidak akan berjaya. Siapakah mereka yang dibincangkan untuk sekolah hamil? Pelajar yang terlanjur, atau mereka yang membuang anak? Masyarakat ternyata telah mencampur adukkan semua isu yang berasaskan perkara yang sama tetapi berlainan cabang. Sekolah hamil di Melaka dikatakan dibuka untuk pelajar yang terlanjur dan mereka yang berkahwin dibawah umur untuk meneruskan persekolahan di peringkat menengah. Namun, apa yang diragui sekarang, mampukah isu ini membendung gejala buang anak? Siapa yang membuang anak?
Dalam proses mengatasi sesuatu masalah, tidak dinafikan, punca masalah haruslah dikenalpasti. Ramai yang sedia maklum gejala sosial semakin parah yang rata-rata melibatkan golongan remaja melayu yang terlanjur atau mungkin yang suka melakukan hubungan seks luar nikah sehingga hamil. Ramai pihak beranggapan ini adalah punca kepada masalah buang anak, tetapi adalah lebih tepat untuk kita mengatakan bahawa ini adalah masalah yang kita ingin banteras dan kejadian buang anak adalah ‘outcome’ kepada masalah ini. Punca sebenar kepada masalah seks bebas yang membawa kepada kes buang anak masih samar-samar dan belum dapat dikenalpasti secara menyeluruh. Ada pihak yang mencadangkan untuk kembali kepada ajaran agama yang mengawal batas-batas pergaulan. Persoalan yang lebih utama timbul, bagaimana perkara ini boleh dicapai, untuk masyarakat kembali kepada agama Islam? Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.Penceritaan tentang konflik keluarga dan persepsi masyarakat tentang isu pelajar hamil. Secara tidak langsung, isu yang sama berlaku di Malaysia. Jika kita membincangkan isu penerimaan masyarakat, mungkin juga cerita ini boleh dijadikan iktibar. Perkara ini benar terutamanya dalam masyarakat yang lebih sensitif di Malaysia yang merasakan isu hamil luar nikah ini satu badi dalam masyarakat Melayu.Tidak adakah pengampunan untuk mereka?
Konsep pendekatan agama juga kedengaran baik namun ke arah mencapai masyarakat yang lebih bertamadun itu yang sukar untuk dicapai. Apa langkahnya? Satu pihak mengeluarkan argument bahawa pendekatan keagamaan adalah satu pendekatan jangka masa panjang. Jadi, apakah pendekatan jangka masa pendek? Adakah terus untuk memerhati gejala buang anak berterusan?



Masih banyak persoalan dan kerumitan yang belum dijawab. Selagi kajian terperinci tidak dilaksanakan dan langkah-langkah yang ingin diambil dibentangkan untuk mencapai objektif yang ingin dicapai, selagi itulah masalah ini akan terus menjadi nanah dalam masyarakat Malaysia. Mempunyai pandangan? Cadangan bernas? Mempunyai jawapan untuk penyelesaian terbaik? Sama-samalah kita bincangkan.